Hari ini awan mendung bagaikan
memerli emosi hati Salimi. Hatinya terlalu terguris melebihi tamparan kulit
bertemu kulit. Tindakan yang cukup ringkas tadi bukan sahaja menampar kulit hatinya
tetapi mencederakan daging hati yang di dalamnya. Sejak balik dari makan angin
di ibu kota, hatinya tidak tenang. Hatinya menari-nari kegelisahan. Sudah mula
dikuasai bisikan syaitan yang ingin merosakkan ukhuwah yang terjalin antara
umat Islam. Ingin sahaja Salimi mengeluarkan hatinya. Tidak bisa bagi dirinya
meletakkan air zamzam untuk menyucikan hatinya, tapi cukuplah baginya
mengeluarkan kembali memori yang mengguriskan hatinya lalu dikonyok-konyokkan
dan tanpa segan silu membuangnya ke tong sampah hitam. Fikirannya mula
bercelaru.
“Dah siap kan? Jom lah kita gerak
balik.”
Bertubi-tubi persoalan dan ajakan
itu dipekakkan telinga Salimi. Sengaja Salimi mendiamkan diri dengan kesibukan
meninjau kedai-kedai di situ. Jika dibiarkan mulutnya berbicara, boleh jadi
banyak hati yang terguris kerana dia pasti nada suaranya akan tinggi setinggi
jeritan hatinya sekarang.
“Kita cari surau dulu. Lepas
zohor kita gerak balik. Bimbang tersekat dalam KTM nanti.”
Nada suara kali ini sedikit
tegas, mengeluarkan sikit kegeraman hatinya. Tapi tidak pasti samada ada pihak
yang memahami kepanasan hati Salimi sekarang. Separuh wajah Salimi mula dikawal
oleh tangannya, bukan kerana kepanasan tetapi khuatir rakan-rakannya melihat
ketegangan mukanya lalu terasa hati. Mata mula liar mencari surau. Ibu kota
tidak sama seperti kampung halamnnya. Semakin maju sesebuah tempat, semakin
lupa diri agaknya. Fikiran Salimi mula dikuasai bisikan nafsu ammarah. Sekecil
hal kesukaran mencari surau di pusat membeli belah yang menjadi tumpuan
pelancong dalam dan luar negara menjadi isu besar yang dibangkitkan dalam
mahkamah akal dan hati Salimi!
“Asal sister tadi cakap surau
dekat tingkat satu kot? Tak pernah solat dekat tempat dia bekerja sendiri ke?”
Makin panas apabila pertanyaan
kepada juruwang tadi dibalas dengan jawapan yang salah. Seolah-olah
dipermainkan sahaja dalam usaha mendekati Allah. Salimi semakin terasa dirinya
kehilangan tenaga. Tenaga positif yang disalurkan sepanjang hari telah
berkurang secara mendadak dek hatinya yang mula berburuk sangka. Usai menjumpai
surau di aras bawah tanah, Salimi mengarahkan rakan serumahnya menunaikan solat
terlebih dahulu. Di fikirannya pastinya lama solat dalam keadaan ramai orang di
situ. Maka sempatlah untuknya menemani rakannya seorang lagi untuk mencari
kedai tudung labuh.
“Anis, lin penat lah. Kita duduk
dekat Food Court sekejap boleh?”
Hatinya sedikit kesedihan dengan
dirinya yang mula menghitung dosa yang dilakukannya sepanjang pagi ini. Entah
di mana Allah ingin melipat gandakan pahalanya hari ini sempena bulan Ramadhan
yang mulia. Suasana Food Court sedikit sebanyak menenangkan hatinya tanpa
melihat gelagat manusia yang bermacam-macam.
“Lin, Anis nak pergi beli coklat
dekat dalam sekejap. Lin nak duduk sini?”
Senyuman dan anggukan yang lemah
longlai sahaja membalas pertanyaan tadi. Salimi yakin Anis memahami dirinya
saat itu cuma Anis sahaja yang tidak berani bertanyakan keadaan dia sekarang
kerana Salimi bukanlah calang-calang orang yang mudah bercerita di saat tegang.
Membiarkan Salimi bersendirian adalah yang terbaik, getus hati Anis!
“Assalamualaikum Lin.”
“Waalaikumussalam. Eh, Farha pun
datang shopping. Bukan minggu lepas dah datang ke?”
“Saja datang lagi teman
kawan-kawan. Bosan duduk kolej sepanjang hari.”
Jawapan ringkas Farha
mengingatkan Salimi kepada sahabat-sahabat baik sekolah lamanya. Farha
sebenarnya menuntut di sekolah yang sama dengan Salimi, cuma mereka bukanlah
rapat walaupun pada realitinya mereka kini berada dalam kuliah yang sama.
Masing-masing membawa haluan sendiri, mendekati masyarakat baru di sekeliling.
Mengutamakan persahabatan atau lebih diberi pendekatan dengan istilah ukhuwah
menjadi keutamaan dalam diri setiap individu yang pernah menuntut di Bumi
Wakafan itu. Kemanisan ukhuwah itu terlalu sukar dicari di dunia luar. Tiada
gantinya. Pinjaman sementara Allah itu sedikit sebanyak melahirkan diri Salimi
yang tidak terlalu mementingkan diri.
“Eh, Salimi tahu tak nak beli
jubah dekat mana? Kita pusing tadi tak jumpa-jumpa.”
“Erk, tadi ada singgah First
Lady, teman Amy. Dekat area sana.”
Jarinya mula menunjukkan arah
kedai yang tersohor di kalangan mereka yang ingin berpakaian berjenama yang
menutup aurat lagi mengikut perkembangan semasa.
“Tadi ada lalu area sana
beli-beli tudung. Tak perasan pula ada First Lady.”
Nada suara Farha yang lembut
sedikit menghiburkan hati Salimi yang kepenatan.
“Farha beli tudung bidang? Farha
beli dekat mana?”
Bagaikan dipermudahkan urusan
kali ini. Tidak perlu lagi berpusing-pusing untuk mencari kedai tudung seperti
tadi. Bertahmid tanda kesyukuran pada Allah. Ingin sahaja air mata membasahi pipinya
melihat keagungan Allah yang mendengar suara hatinya yang kepenatan lalu
membantunya dalam segala urusan. Entah kenapa terlalu sukar untuk peniaga
sekarang menjual tudung bidang. Barangkali kebimbangan kerugian modal gara-gara
kehendak masyarakat kepada tudung bidang sangatlah sedikit jika dibandingkan
dengan permintaan kepada selendang. Tidak sedarkah peniaga betapa besarnya
keuntungan diterima di akhirat kelak hasil penjualan sehelai tudung bidang
kerana menggalakkan wanita kini menutup aurat dengan lebih sempurna? Suara
lembut hati mengingatkan kepada Allah mula meredakan kemarahan Salimi.
“Jomlah kita pergi sekali.
Sambil-sambil Farha cari First Lady, Farha tunjukkan.”
“Sekejap Farha. Bukan kita nak
bei tudung tu tapi kawan kita. Dia tengah beli coklat dekat dalam. Kita call
dia sekejap.”
Belum sempat Anis mengangkat
panggilan Salimi, Salimi mematikannya kerana sudah nampak kelibat Anis
menghampiri tempatnya.
“Jom Anis, pergi kedai tudung.
Farha tahu.”
………………………………………………………………………………………………………......
Telefon bimbit mula dicapai
Salimi. Beg tangan yang tersusun rapi pada awalnya sudah dipenuhi dengan wang
ringgit baki pembelian beserta resit. Kekhuatiran keselamatan sepanjang berada
di ibu kota tidak menggalakkan Salimi mengeluarkan beg dompetnya selalu. Ada
kalanya apabila melalui lorong-lorong yang dipenuhi Orang Kelainan Upaya (OKU)
meminta simpati untuk mengisi perut mereka hari ini, Salimi hanya perlu
mengambil kepingan wang kertas di dalam beg tangannya tanpa melihat nilainya.
Rezeki masing-masing hari ini. Getus hatinya. Bukan dipinta mereka berada di
sini, kenapa mesti masyarakat sombong berbelanja tanpa mengingati masih ada
yang memerlukan wang mereka? Sewajarnya semakin banyak kita berbelanja, semakin
ringan jugalah tangan kita untuk bersedekah.
Muni, Lin minta maaf tak sempat
jumpa Muni lama-lama tadi. Kawan-kawan Lin banyak urusan lagi. Terima kasih
juga sebab jadi pemandu pelancong KTM. Maaf atas tingkah laku kami yang tidak
menyenangkan Muni.
Hantar kepada Munifah~KI. Salimi
tidak kisah jika hanya jasmaninya sahaja kepenatan, tetapi kali ini rohaninya
juga bertambah kepenatan apabila keluar dari bilik untuk menuju ke bilik air
untuk mengambil wuduk dilihatnya rakan-rakan serumahnya tekun menghadap buku.
Tidak faham dengan situasi sekarang.
It’s okay dear. Gembira dapat
jumpa walaupun sekejap. Rindu saat-saat kita bersama.
Air mata yang mula membasahi pipi
Salimi merubah warna pipi dan hidung Salimi pada masa yang sama. Dilihat
seakan-akan memakai alat solek bukannya seperti badut. Rindukan saat bersama
Munifah. Sukarnya mencari sahabat seperti Munifah. Ada di saat susah dan
senang. Zaman sekolah dulu memang tidak dapat disangkal lagi Munifah tokoh
membeli belah di dalam dorm! Pantang ada keperluan dorm, dengan senang hatinya
dia menawarkan diri untuk keluar bershopping. Apakah dia tidak rasa membazir
masa keluar bershopping selalu?
Salimi bersyukur dihadiahkan
sahabat yang ringan tulang membantu masyarakat sekeliling. Walaupun bukan Salimi
yang memiliki sifat mahmudah itu, tetapi sudah cukup berbangga memiliki sahabat
yang mampu memberi kebaikan kepada masyarakat. Semangat Munifah membantu orang
sekeliling membuatkan Salimi nekad untuk menguruskan jamuan kelas tatkala SPM
sedang rancak berjalan.
“Muni, kita urus sama-sama jamuan
kelas nak?”
“Kenapa? Muni okay saja kalau Lin
sanggup.”
“Jomlah kita uruskan. Lagipun Lin
terasa berhutang tanggungjawab Penolong Ketua Tingkatan tahun lepas. Rasa
berhutang amanah yang banyak.”
Tidak habis fikir dengan
keputusan diri sendiri yang sanggup mengorbankan masa fikirkan sesuatu yang
tidak akan ditanya dalam soalan Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah seminggu
lagi. Hendak dikatakan pandai dalam matapelajaran ini memang jauh sekali
memandangkan peperiksaan percubaan sendiri mendapat B, hanya 2 markah lagi
untuk mendapat A. Namun di fikirannya tidak akan mengganggu Munifah
memandandangkan memudahkan urusan orang lain memang hobinya! Jika ditanya
komitmen Munifah pada kertas Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah, Salimi tidak
mempunyai sebarang kebimbangan kerana yakin otak hafalan Munifah akan
membantunya menjawab dengan lancar.
“Muni, muslimin nak jumpa dekat
kantin. Tapi, Muni tolong handlekan boleh? Lin temankan.”
“Boleh saja. Bila muslimin nak
jumpa? Ramai ke nak jumpa?”
Salimi ketawa kecil dalam hati.
Sejak bila Munifah berani nak berdepan dengan muslimin tanpa segan silu tak
bertempat ni? Berjaya juga misinya saat itu. Mungkin ini salah satu hikmah
tahap kesihatan Salimi yang tidak stabil akhir-akhir ini, menjentik jiwa
simpati Munifah lalu menjadi lebih berani menonjol apabila berurusan.
Persahabatan bagai isi dengan kuku ini jangan disangka jernih selalu, pasti ada
pasang surutnya. Ada saat pastinya ada yang merajuk. Peranan seorang sahabat
untuk memujuk. Inilah kepentingan menjadi rakan yang romantik! Memberikan
perasaan selamat di saat sahabat berada di sisi.
Sesiapa yang melihat kelibat
kesibukan Salimi dan Munifah pastinya bimbang. Bangun-bangun pagi memikirkan
memberikan sesuatu yang terbaik pada kelas untuk kali terakhir. Jarang sekali
ingin lihat mereka menghadap buku PQS. Kebimbangan kekurangan persediaan
menghadapi pelajaran terubat kerana masing-masing mengingatkan tentang prinsip
hidup ini. Kita mudahkan kerja orang, Allah mudahkan urusan kita! Sokongan
rakan-rakan sedorm juga membuatkan semangat mereka tak goyah. Kadang-kadang
saat rakan sejoli ini keletihan, mereka hanya menghampiri sahabat-sahabat
berhampiran dengan katil lalu meminta simpati untuk berkongsi apa yang dibaca
mereka sepanjang hari sehinggalah Salimi dan Munifah terlelap mendengar suaru
mendayu mereka.
Setelah selesai jamuan kelas yang
cukup sederhana tetapi berjalan lancar, Munifah dan Salimi memaksa diri
menggunakan sisa dua hari itu sebaiknya. Namun, memang tidak dapat disangkal,
membaca buku semata-mata bukanlah hobi mereka. Lebih suka berbual berdua.
Salimi lebih suka mendengar Munifah bersoal jawab dengannya. Telatah Munifah
yang keanak-anakkan membuatkan Salimi tidak pernah berjauhan daripada senyuman.
Manakan tidak, Munifah bertanya tetapi tidak sempat Salimi menjawab terus
diberikan jawapan dengan penuh keyakinan.
…………………………………………………………………………………………………………
“Kalau kita mudahkan urusan orang
lain, Allah akan mudahkan urusan kita. Tak banyak masa bersama buku, tak
semestinya tak dapat A+.”
Bibir Salimi perlahan-lahan
menyebut setiap bait ayat itu untuk meneguhkan visi dan misi hidupnya! Mudah
sahaja hatinya terasa dengan tindakan rakan-rakan serumahnya yang tidak
memahami betapa mahalnya nilai ucapan terima kasih dan maaf.
“Dekat sini sorry itu tiada
nilai, faham? Sorry tu nampak macam main-main minta maaf. Lain-lain hari buat
lagi. Kalau nak minta maaf, cakap maaf bukan sorry! Nilainya lebih tinggi!”
Terngiang-ngiang amaran senior
yang hanya setahun lebih tua daripada kami di Bumi Wakafan, dan barangkali juga
hanya sehari beza hari kelahiran. Didikan itu menyebabkan kami menghargai orang
sekeliling. Diri yang lemah saat itu seperti biasa bukanlah mudah untuk
menerima nasihat orang lain. Latar belakang kita berbeza dan kita mempunyai
cara hidup sendiri! Memberontak dalam sepi. Hari dari hari semakin mengerti
tujuan sebenar didikan itu adalah untuk melahirkan kesatuan berukhwah.
Persamaan memudahkan memahami antara satu sama lain. Tolak ansur semakin
mendapat rentak dalam berurusan.
Berhadapan dengan masyarakat baru
di dunia luar menjemput kejutan budaya menghampiri diri! Salimi terkapai-kapai
mencari sahabat-sahabat yang ada saat dirinya jatuh. Bukan mudah untuk
menggantikan sahabat seperti Munifah. Bagaikan separuh kehilangan diri sendiri
apabila dia terpaksa menghadap buku gara-gara terpengaruh dengan rakan-rakan
baru sekelilingnya. Semakin terasa kehilanngan sahabat apabila terasa
pergantungan dengan Allah semakin berkurang. Terlalu sukar menerima nasihat lembut
yang mengingatkan kepada-Nya. Adakah Salimi akan terus membiarkan dirinya
berpijak pada alam mimpi yang tidak tahu hala tuju? Siang dan malam tidak
putus-putus berdoa masih ada simpati Allah pada hamba yang berdosa ini.
“Ya Allah, semoga dengan kehadiran
rakan-rakan baruku Kau hadiahkan aku ketabahan yang lebih dalam membina
identiti seorang Muslimah. Moga kehadiranku diterima di hati mereka dan moga
akhlakku tidak mencemarkan agama-Mu. Permudahkanlah Yang Maha Pengasih, jangan
Kau susahkan.”
Istighfar.
.:: I am a simple human strive for success and also strive for ISLAM ::.