Tuesday 11 September 2012

CERPEN: SAHABAT RAMADHAN

“Aimi, awak nak air apa?” Tanya Yasmin kepadaku. 

“Mestilah saya mahu air jagung, air kegemaran saya.” Jawabku. 

Yasmin merupakan teman baikku, tetapi kami hanya akan berjumpa pada bulan Ramadhan sahaja. Ini kerana Yasmin tinggal jauh di Perak manakala aku menetap di Johor. Walaupun tinggal berjauhan, perhubungan kami sudah seperti saudara sendiri. Pada setiap kali Ramadhan, Yasmin akan pulang ke Johor untuk berpuasa bersama-sama neneknya, nenek Tijah. Itulah masa untuk kami berjumpa. 

Sepanjang lima tahun kami berkenalan, terlalu banyak kenangan manis dan pahit kami lalui bersama. Kenangan yang paling tidak boleh dilupa ialah ketika kami bermain bunga api semasa malam raya tanpa pengetahuan keluarga. Oleh kerana kedegilan kami, baju kurung yang dipakai Yasmin hampir terbakar apabila bunga apinya terjatuh. Akibatnya, seharian kami terpaksa menahan telinga mendengar leteran Nek Tijah. Kami juga gemar pergi memancing ikan di sungai di hujung kampung. Hasilnya kami akan berikan kepada ibu untuk dimasak. 

Apabila menjelang musim peperiksaan, kami akan memperuntukkan masa untuk belajar bersama-sama. Alhamdulillah, kami sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang berkat doa ibu bapa serta usaha kami. Selepas peperiksaan SPM tamat, Yasmin berpindah tinggal bersama Nek Tijah. Masa kami bersama bertambah dan perhubungan kami menjadi semakin rapat. Beberapa bulan berlalu, keputusan SPM keluar. Sekali lagi kami memanjatkan syukur kepada Ilahi di atas kurniaanya kepada kami. Kami Berjaya menghadiahi ibu bapa kami dengan keputusan yang cemerlang.

Telan mati emak, luah mati bapak, itulah keadaan ku apabila ditawar  melanjutkan pelajaran ke Australia di dalam bidang perhubungan antarabangsa. Ianya merupakan impianku selama ini, tetapi aku tidak sanggup untuk berpisah bersama keluarga dan Yasmin. Yasmin banyak memberiku dorongan untuk menyambung pelajaran di negeri orang itu. Katanya, aku akan mendapat pengalaman hidup di negara orang di samping dapat menguatkan jati diri aku sebagai orang Islam. Kami juga berjanji akan sentiasa bertanya khabar di antara satu sama lain.

Menitik air mataku saat Yasmin memelukku untuk kali terakhir. Walaupun aku cuba menahan air mataku daripada menitik ke bumi agar keluargaku dan Yasmin tidak bersedih dengan pemergianku, namun aku gagal jua. Ibu bapaku dan Yasmin banyak memberi pesanan kepadaku. Mereka mahu aku berjaya dan membawa pulang segulung ijazah apabila kembali ke tanah air. Akan kubuktikan kepada mereka, itu azamku.

Pertama kali berpuasa di negara asing, tanpa Yasmin dan ibu bapa di sisi terasa sungguh janggal. Mujur senior dan kawan-kawan banyak membantuku. Oleh kerana pada tahun pertama aku berpuasa di sini jatuh pada musim sejuk, tempoh kami berpuasa menjadi singkat. Selama berada di sini aku dan Yasmin saling berbalas e-mel. Katanya, dia rindu akan Ramadhan bersamaku. Rindukan solat terawikh bersama-sama, rindukan tadarus Al Quran pada petang hari dan membeli juadah berbuka di bazaar Ramadhan. Aku juga rindukan saat-saat itu, tapi apakan daya, kami terpisah di antara dua benua. Aku selalu menitipkan doa buat Yasmin dan keluarga kerana doa merupakan hadiah terbaik untuk orang yang kita sayang. 

Setelah 3 tahun berkelana di sini, aku semakin jarang mendapat balasan e-mel daripada Yasmin. Adakah Yasmin sudah melupakanku? Aku segera beristighfar kerana sudah bersangka buruk dengan Yasmin. Sesungguhnya bersangka buruk adalah bisikan syaitan dan boleh memecah belahkan kita. Aku menganggap Yasmin sibuk dengan pelajarannya. Masuk tahun keempatku di sini, tiada lansung balasan e-mel daripada Yasmin, namun aku masih setia mencoret kata-kata untuk tatapan Yasmin. Mungkin Yasmin sibuk hingga tiada masa untuk membalas e-melku.

Akhirnya, hari yang kunanti-nantikan tiba jua. Setelah siap berkemas aku segera singgah ke Queenstown Market bagi membeli cenderahati buat keluarga dan Yasmin. Aku tidak sabar untuk berjumpa dengannya. Perjalanan selama 15 jam kurasakan seperti setahun kerana keterujaanku untuk berjumpa mereka. Setelah sampai di kampung halamanku segera aku memeluk ibu dan abah yang sedang menantikan kepulanganku. Setelah menghilangkan penat dan berbual-bual, aku meminta izin untuk ke rumah Nek Tijah. Tidak sabar mahu berjumpa dengan Yasmin. Ibu sempat berpesan kepadaku agar menerima takdir Allah dengan hati yang redha. Walaupun aku berasa pelik dengan pesanan ibu, namun keterujaanku untuk bertemu Yasmin menghalangku daripada bertanya lebih lanjut.

Sesampainya aku di rumah Nek Tijah, segera aku memberi salam dan mengetuk pintu. Tidak lama kemudian salamku di sambut dan Nek Tijah kelihatan di muka pintu. Terus Nek Tijah memelukku. Mungkin rindu dengan cucu angkatnya ini, fikirku. Setelah bertanya khabar, aku bertanya mengenai Yasmin. Terus berderai air mata Nek Tijah. Aku berasa tidak senang dengan keadaan ini dan meminta penjelasan daripada Nek Tijah.

Rupa-rupanya Yasmin telah didiagnosis menghidap barah usus. Yasmin selalu mengalami sakit perut yang berpanjangan dan menyangka ianya hanya sakit perut yang biasa hinggalah pada suatu hari dia pengsan di universiti. Setelah mendapat tahu mengenai penyakitnya, Yasmin berhenti belajar untuk mengubati penyakitnya. Sekarang Yasmin terlantar di sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur kerana barahnya sudah sampai ke tahap akhir. Luluh hatiku apabila mendengar perkhabaran mengenai Yasmin. Nek Tijah juga berkata bahawa Yasmin jugalah yang meminta kepadanya dan ibu bapaku agar tidak memberitahu mengenai keadaannya kepadaku kerana gusar aku tidak dapat memberi fokus pada pelajaranku.

Keesokan harinya, keluargaku membawaku pergi berjumpa Yasmin di Kuala Lumpur. Sedih hatiku apabila melihat Yasmin sudah tidak seperti dulu lagi. Mukanya kini cengkung dengan pelbagai wayar berselirat di tubuhnya. Rambutnya juga menipis kesan daripada rawatan kimoterapi yang dilaluinya. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana Yasmin bertarung dengan penyakitnya itu. 

Nyata Yasmin terkejut apabila melihat kedatanganku. Dia cuba untuk tersenyum bagi menyembunyikan kepucatan wajahnya di samping membuat suasana sedikit ceria. Aku segera memeluk Yasmin dan meminta maaf kerana tidak dapat berada bersamanya bagi melawan penyakitnya itu. Yasmin juga memohon maaf kerana merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuanku. Air mata rindu menjadi saksi kepada pertemuanku dan Yasmin. Yasmin cuba berjenaka bagi menukar suasana. Ketika kami sedang berbual, Yasmin tiba-tiba memintaku untuk membacakan Surah Yusuf, surah kegemarannya kerana dia rindu untuk mendengarku membaca Al Quran. Aku terus mengambil tafsir Al Quranku yang memang sedia ada di dalam tas tanganku dan membacanya. Ketika aku sedang membacanya, aku melihat Yasmin perlahan-lahan menutup matanya. Mungkin Yasmin mengantuk dan aku meneruskan bacaanku. Setelah habis bacaanku, aku mengucup dahi Yasmin tetapi kurasakan sejuk. Apabila kurasakan tiada tindak balas daripada Yasmin setelah aku memanggil namanya berkali-kali, aku segera menjerit memanggil ibu dan abah yang menunggu di luar untuk memberiku ruang bersama Yasmin. 

Kini, setiap kali Ramadhan menjelma, aku pasti teringat akan arwah Yasmin. Setiap kali usai solat aku tidak pernah lupa untuk mendoakan agar arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatehah.


pemenang cerpen ramadhan UPM 2012.

.:: I am a simple human strive for success and also strive for ISLAM ::.

No comments: